Bahasa Melayu = Bahasa ‘Jiwang’

Salam peneliti yang dihormati,

 

Hujah kali ini adalah mengenai perkara yang boleh dianggap sebagai sesuatu yang terdekat dalam diri setiap umat manusia. Isu Bahasa Ibunda yang giat diperdebatkan oleh para pensyarah, asatizah dan bahasawan. Malangnya, perbincangan mengenai isu bahasa ini seringkali tiada penyelesaian dan akan menjadi topik perbincangan sekali lagi pada masa-masa yang berlainan.

 

Mengapa harus dipertikaikan sama ada Bahasa Melayu itu dianggap sebagai Bahasa ‘Jiwang’ atau tidak? Sebelum apa-apa boleh dihuraikan atau diperdebatkan di sini, eloklah jikalau fakir menerangkan maksud ‘Jiwang’.

 

Menurut Kamus Dewan, melalui lelaman dbp.gov.my, ‘Jiwang’ diertikan sebagai ‘jiwa-jiwa (perlakuan sentimental)’. Jika dipantau blog-blog yang berkaitan dengan istilah ‘Jiwang’, penulis blog-blog tersebut banyak menyamakan atau mengkaitkan ‘Jiwang’ dengan hal-hal romantik atau sesuatu yang mampu menyentuh perasaan.

 

Jadi, salahkah jika Bahasa Melayu ditakrifkan sebagai Bahasa ‘Jiwang’?

 

Pada pendapat fakir, tidaklah salah jika Bahasa Melayu itu dikaitkan dengan Bahasa ‘Jiwang’. Ada beberapa hal yang dapat fakir hujahkan di sini untuk memperkukuhkan pernyataan fakir ini.

 

Sememangnya, telah tersurat dari dahulu lagi oleh pendatang-pendatang asing (penjajah dan kelana) bahawa Bahasa Melayu merupakan bahasa perantaraan yang mudah dipelajari dan ditutur. Sejarah juga telah mengatakan bahawa Bahasa Melayu merupakan bahasa yang penuh sopannya sehinggakan dalam hal-hal bertikam lidah atau cerca-cercaan diucapkan dengan penuh puitis dan beralas. Maka terlihatlah pantun-pantun, simpulan kata, peribahasa dan sebagainya yang digunakan oleh masyarakat Melayu dahulukala dalam penuturan mereka. Bak pepatah Melayu, bahasa melambangkan bangsa.

 

Bahasa Melayu begitu teratur dan beralas sehinggakan terkadang, tidak terlihat kesan kekasaran yang diucapkan oleh penutur itu. Puisi-puisi seperti pantun, syair, gurindam, dan sebagainya merupakan ungkapan kata-kata yang tersusun dengan indah dan puitis. Mungkin kerana ini, Bahasa Melayu dikaitkan dengan perihal berjiwa-jiwa.

 

Oleh kerana terdapat puisi-puisi lama ini, maka kepengaruhannya dalam penghasilan lirik-lirik lagu-lagu Melayu amat ketara sekali. Silap para penulis lirik ialah, mereka teramat sangat mengongkong kesejagatan sesebuah lagu itu kepada isu-isu cinta dan apa-apa sahaja yang sentimental sehinggakan tanggapan utama mengenai Bahasa Melayu itu adalah ia adalah bahasa jiwa-jiwa. Benar, bahawa lagu-lagu berunsur cinta dan sentimental itu merupakan sesuatu yang mudah dihadam oleh pendengar-pendengar serta peminat-peminat muzik, serta mereka yang dilamun perasaan romantis, akan tetapi terdapat berbagai hal-hal yang lain yang boleh diutarakan melalui lagu-lagu. Maka para penulis lirik hanya melakukan apa sahaja yang mereka mampu, iaitu untuk menghasilkan sebuah karya yang dapat memenuhi pemintaan pasaran serta yang mampu meraih keuntungan.

 

Tidak semua yang ‘Jiwang’ itu adalah milik Melayu. Tidak adil jika Bahasa Melayu sahaja yang dikaitkan sebagai Bahasa ‘Jiwang’. Bahasa-bahasa lain juga, wajar membahu takrifan ini. Ini adalah kerana bahasa asing banyak mempengaruhi pembentukan Bahasa Melayu. Hal-hal ini dapat dilihat melalui jendela sejarah yang mana Bahasa Melayu dipengaruhi oleh bahasa seperti Sanskrit, Arab, Latin, China, Inggeris dan sebagainya. Atas kepengaruhan ini, maka terhasil kosa-kosa kata yang sebagaimana terlihat di dalam kamus Bahasa Melayu kini.

 

Oleh kerana hal ini, tidak moleklah jika para pengamat, penutur, penyelidik dan pengkaji Bahasa Melayu mentakrifkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ‘Jiwang’.

 

Selain itu, muzik-muzik Melayu tradisional dikenali dengan irama yang lembut. Seperti keroncong, inang, joget dan sebagainya. Sifat lembutnya ini yang meletakkan muzik Melayu setaraf dengan ‘Jiwang’. Jika disingkap sejarah muzik-muzik ini, maka nyata bahawa muzik-muzik Melayu yang dikatakan tradisional mempunyai pengaruh muzik-muzik asing. Sama juga dengan muzik-muzik moden seperti balada, rock, pop dan sebagainya, ia adalah pengaruh daripada muzik-muzik daripada barat.

 

Pengaruh media menjadi punca utama dalam melemahkan bangsa itu. Bukan sahaja seseorang itu dilemahkan budayanya, malah bahasa dan identitinya juga turut terjejas. Ini adalah kerana media massa telah membawa pengaruh-pengaruh barat ke alam warga asian yang dahulunya kuat dengan pegangan-pegangan serta kepercayaan-kepercayaan yang diwarisi daripada leluhur kita.

 

Kini, norma-norma yang diamati oleh salasilah zaman millieu ialah apa sahaja yang persis dengan masyarakat barat. Warga asian semakin kehilangan identiti dan pegangan mereka sehinggakan, tercetus perdebatan antaranya seperti Bahasa Melayu ialah Bahasa ‘Jiwang’.

 

Maka, dalam membincangkan mengenai Bahasa Melayu itu adalah Bahasa ‘Jiwang’, ialah sama sekali tidak berasas. Hujahan ini hanyalah omongan yang tidak berisi dan tidak berperisa. Malah pedas dan masamnya tidak terasa. Setiap bahasa di bumi tuhan ini merupakan bahasa yang mempunyai unsur jiwa-jiwanya tersendiri. Ia bergantung kepada penerimaan si penutur atau bangsa itu untuk melabelkan dan menjatuhkan maruah bangsanya sendiri atas dasar-dasar yang tidak mempunyai pasak dan bumbung.

 

Mengapa bagaikan ‘musang berbulu ayam’ dan merosak serta mengecilkan bahasa dan bangsanya sendiri? Kerana sikap ini tak ubah bak ‘laki pulang kelaparan, dagang lalu ditanakkan’. Budaya asing diterima seluruhnya, sehinggakan budaya lahiriah terabai. Segala yang negatif adalah perihal budaya dan bahasa bangsa sendiri, dan segala yang baik adalah daripada budaya dan bahasa yang disanjungi.

 

Begitukah bangsa Melayu? Hipokrit sehinggakan bermati-matian menyalahkan anak sendiri sedangkan anak jiran bercumbu didepan mata tidak diherdik?

 

Lantas, Bahasa Melayu bukanlah Bahasa ‘Jiwang’ sepertimana yang ditanggap oleh ramai anak-anak muda kita. Pengaruh asing (terutamanya pengaruh barat) merupakan pengaruh yang persis dengan serangga perosak. Sanjungilah Budaya Kita, Junjungilah Bahasa Ibunda!

 

Sirna Kalam Maya

8 Februari 2011

 

Penulis dikatakan hanya mementingkan diri…

Salam para peneliti yang dihormati,
 
Sila lihat gambar sisipan ini…Pengkhutbah Nista
 
Sebelum ditelitikan mengenai apa yang dikatakan oleh penulis pautan Facebook ini, molek agar fakir memberi keterangan ringkas mengenai latar-belakang penulis ini. 
 
Penulis blog ini merupakan seorang penuntut di NIE, Special Training Programme (STP) yang bakal menjadi seorang guru Bahasa Melayu (insya-allah).  Beliau juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa Angkatan Sasterawan 50 (ASAS50), Sayap Belia. 
 
Yang amat memelikkan fakir akan ucapannya itu, ialah mengenai penulis  yang hanya berjuang berlandaskan ‘aku’ dalam kamus hidup mereka.  Sekiranya si ‘pejuang’ ini merupakan seseorang yang telah berumur dan telah sempurna mengamati dunia sepenuhnya, tidak mengapalah  jika dia berkata sedemikian.  Malangnya, umurnya baru sahaja mencecah awalan 20-an dan hanya mengamati dunia melalui lensa yang nipis sekali.  Bukan sahaja itu, beliau bukan merupakan seorang karyawan mahupun sasterawan yang telah menyumbang kepada dunia pengkaryaan tempatan mahupun diluar negara.
 
‘Pejuang’ muda ini telah menekankan pada awal ucapannya itu, ‘…golongan-golongan penulis semuanya sama; semuanya tentang aku, aku dan aku…’, yang secara tidak langsung telah menempatkan semua penulis-penulis dunia, baik yang hidup mahupun yang telah tiada, antara yang protagonis dan juga antagonis, dalam cakupan penulis yang hanya mementingkan dirinya sendiri. 
 
Entah mengapa kata-katanya itu beralunan bak lirik yang tidak bernada dan tidak mengikut rentak semasa.  Seleranya hanya berasaskan citra dan bekalan nafsunya, tanpa memandang isi dan ragam sebenar seseorang penulis itu. 
 
Mungkin ada sedikit ketepatan dari apa yang dimuntahkan oleh si ‘pejuang’ mentah ini.  Namun, dengan menggolongkan SEMUA penulis dalam rangkuman ‘AKU’ adalah sesuatu yang tidak adil. 
 
Lahiriah, penulis secara am, sememangnya memperjuangkan rasa hati mereka sendiri untuk berkarya.  Sememangnya penulis suka menulis, dan dengan membukukan atau mengongsikan karya-karya mereka kepada khalayak adalah satu cara bagi penulis untuk meluahkan perasaan serta pengalaman mereka kepada mereka yang berminat.  Selain itu, perjuangan penulis ialah untuk memperkayakan khazanah pengkaryaan sesuatu bangsa itu.  Secara tidak langsung, penulis telah berkhidmat kepada bangsa tersebut, malah pada negara.
 
Zahiriah, tidak semua penulis sama.  Sudah lumrah manusia, bukan hanya terikat kepada golongan penulis, malah semua umat manusia yang ada di dunia ini, tiada satu yang sama.  Masing-masing mempunyai agenda mereka tersendiri untuk berjuang agar diri mereka berada di menara gading.  Ada yang menulis kerana ia adalah sebahagian daripada periuk nasi mereka.  Ada yang menulis kerana menginginkan darjat dan nama.  Ada juga yang menulis kerana ia adalah bagai hobi atau wadah untuk meluahkan tekanan jiwa mereka.  Dan ada menulis kerana ingin berjuang. 
 
Kendati, siapa pun penulis itu, baik yang tua ataupun yang muda, hasrat sebenar mereka berkarya ialah satu.  Iaitu PERJUANGAN.  Sama ada perjuangan mereka berasaskan ‘AKU’ atau tidak, bukanlah sesuatu perkara yang molek dipertikaikan oleh sesiapa sahaja dalam dunia ini.  Yang penting, mereka tidak merosakkan bangsa dan negara melalui karya mereka.  Setiap karya itu adalah sumbangan kepada bangsa dan negara, dan harus diterima sebagai perjuangan. 
 
Untuk berkarya, bukanlah merupakan sesuatu yang mudah.  Karya adalah buah yang ditunas dari pohon minda seseorang itu.  Ia mengambil masa, serta  usaha untuk menghasilkan sebuah pohon yang mampu menghasilkan buah-buahan dari baka yang baik, lagi berkualiti.  Bukan itu sahaja, sama ada seseorang peladang (penulis) ingin bersedekah (menyumbang) atau menjual (meraih untung) buah-buahan hasil dari keringat mereka itu, adalah hak tersendiri.  Tiada sesiapa, yang berhak untuk memaksa atau mengkritik para karyawan sekiranya mereka enggan menyumbang karya mereka kepada mana-mana orang ketiga.
 
Hal ini persis dengan kehendak si ‘pejuang’ FaceBook ini.  Secara tidak langsung, beliau juga cuba mencemar nama-nama penulis agar beliau dan kata-katanya kelihatan lebih relevan dan nyata di mata dunia.  Malangnya, si ‘pejuang’ ini mungkin lebih kurang puas hati terhadap penulis-penulis yang enggan mengikut rentak tarinya.  Lumrah manusia, kalau perjuangan tersendiri tidak dapat dilaksanakan oleh kerana tiada  sokongan daripada golongan yang mereka harapkan (dalam hal ini, para penulis), akan dikritik dan dicerca.  Sekiranya mereka berjaya mendapatkan segala yang diinginkan, bukan main lagi sorakkan dan laungan kegembiraannya.  Entah, apa sebenarnya yang mungkin telah mengaburi mata  si ‘pejuang’ ini daripada melihat dan menerima kenyataan dan hakikat.
 
Si ‘pejuang’ menekankan juga bahawa ‘… golongan aku, aku dan aku ini dibelenggu aura negativisme kerana sikap akunya…’.  Dalam menghuraikan hal ini, mengapa penulis dikatakan ‘dibelenggu aura negativisme’, sedangkan segala yang dijuangkan oleh penulis adalah demi memupuk sikap yang POSITIF dalam diri umat manusia.  Sekiranya semua penulis itu adalah negatif, maka tiada karya yang dihasilkan mereka itu diterima dan dipuja ramai.  Contohnya, sajak ‘INI NASI YANG KUSUAP’ oleh almarhum Masuri SN;
 
INI NASI  YANG KUSUAP
 
Ini nasi yang kusuap
pernah sekali menjadi padi harap
melentok dipuput angin pokoknya kerap
tenang berisi tunduk menatap

Ini butir nasi yang kukunyah
sedang kutelan melalui tekak basah
jadi dari darah mengalir
dalam badan gerak berakhir

Angin kencang mentari khatulistiwa
membakar raga petani di sawah
panas hujan dan tenaga masuk kira
dan nasi yang kusuap campuran dari manusia

Ini budi yang kusambut
pemberian lumrah beranting dan bertaut
ini nasi hasil dari — kerja
kembali pada siapa yang patut menerima

Jadi yang kumakan bukan berasal dari nasi
tapi peluh, darah, dalam isi mengalir pasti
jadi kutelan bukan berasal dari padi
tapi dari urat dari nadi seluruh pak tani

~ Masuri S.N (Dipetik dari Puisi Baharu Melayu)

Melalui karya sajaknya ini, mungkinkah ‘aura negativisme’ dapat dirasakan atau dibaca sepertimana yang diutarakan oleh si ‘pejuang’ tadi?  Sajak ini semolek-moleknya mendidik pembaca akan pentingnya nasi itu serta penghasilannya.  Satu lagi karya ialah sajak ‘Tetamu Senja’ oleh A. Samad Said;

TETAMU SENJA

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala
 
Pada tetamu yang datang dan 
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan
 
Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad
 
Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas
 
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat 

~ A. Samad Said

Sekiranya penulis-penulis sebenar-benarnya membawa ‘aura negativisme’, tidak mungkin akan terhasil sekuntum puisi yang cuba memperingkatkan golongan pembaca pada isu mati dan agama.  Hal mati tidak boleh dianggap negatif kerana pada hakikatnya, ia adalah tuntutan agama dan kepercayaan setiap umat manusia dan dan agama.

Sekiranya sajak-sajak yang diberi tidak mencukupi, mungkin novel ‘SUBUH HILANG SENJA’ oleh Suratman Markasan atau, cerpen ‘SATU MACAM PENYAKIT’ oleh Yazid Hussein boleh dijadikan sandaran diantara karya-karya yang beraneka dan jumlahnya yang tiada terbilang, untuk mengukuhkan lagi perdebatan ini.

Yang fakir rasa bahawa si ‘pejuang’ telah menempelak dirinya sendiri atas hujah-hujahnya di atas (lihat lampiran), ialah apabila beliau memulakan kata-katanya dengan ‘Hari ini aku katakan…’ yang secara tidak langsung telah menyamakan dirinya dengan ‘aku-aku’ yang lain, yang mana mereka dikatakan sebagai ‘… satu, hanya aku di bumi ini.  Dua, hanya aku sahaja betul.  Tiga, hanya aku yang terbaik. Aku, aku, dan sememangnya aku sahaja…’.  Hal ini tidak ubah dengan sikap dan pendirian si ‘pejuang’ mentah ini.  Pada dasarnya, beliau cuba memperlihatkan perjuangan dan semangat kemasyarakatan dan kemanusiaan yang jitu, malangnya perbuatannya itu bak ‘membasuh najis dengan mala’, iaitu dengan secara terbuka ‘mengata dulang paku serpih’.

Kendati apapun yang dinyatakan di sini, sama ada, ada yang menyokong hujah-hujah ini atau tidak adalah hak masing-masing.  Fakir telah menulis dan mengkritik si ‘pejuang’ ini dalam blog ini, atas dasar menginginkan menegakkan segala kebenaran (melalui cara tersendiri).  Cuma, beberapa soalan yang perlu difikirkan dalam pembicaraan ini.

1) Adakah benar apa yang diucapkan oleh si ‘pejuang’ ini?
2) Adakah benar hidup penulis itu hanya berlandaskan ‘aku’ sahaja?
3) Mungkinkah si ‘pejuang’ alpa akan perjuangannya itu, juga berlandaskan ‘aku’, kerana menginginkan takhta dan darjat (dalam keadaan di bawah sedar)?
 
 
Sirna Kalam Maya
2 Februari 2011