Kesantunan Bahasa Melayu Kian Pudar

Tema: Bahasa, Agama dan Budaya

Tajuk: Kesantunan Bahasa Melayu Kian Pudar

Bahasa Melayu khususnya, telah lama diserasikan demi membentuk identiti orang-orang Melayu.

“… in many ways, language is a form of social identity and is used, consciously or unconciously, to indicate membership of different social groups or different speech communities.”

George Yule (1985)

Seperti yang dikatakan Yule, bahasa membentuk identiti sesebuah kaum secara sedar ataupun tidak. Nilai-nilai estetika yang terdapat pada budaya Melayu secara tidak langsung telah membentuk bahasa yang berpuitis lagi sopan.

Bahasa ialah sistem perlambangan bunyi suara yang dipakai sebagai alai perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Ia juga menunjukkan erti percakapan yang baik, tingkah laku yang baik dan bersopan santun (Kamus Dewan: Edisi Keempat, 2006).

Bahasa sebenarnya wujud kerana kata, tiada kata tiadalah bahasa. Perhubungan untuk menyampaikan dan menerima gagasan antara seorang dengan seorang, dan seterusnya antara seluruh anggota masyarakat dengan anggota masyarakat yang lainnya, di seluruh jagat ini adalah melalui bahasa (Keris Mas, 1988). Bahasa bukan setakat alat untuk menyampaikan maklumat semata-mata, tetapi turut berperanan dalam menyampaikan perasaan prejudis penggunanya.

Bahasa adalah petunjuk kehidupan dan gambaran dunia kita. Maka bahasa boleh menggambarkan keperibadian kita, siapa kita, asal usul kita, sosiobudaya kita, pendidikan kita dan banyak hal yang berkaitan dengan kita, sama ada ia sesuatu hal yang baik mahupun sebaliknya (Asmah Hj Omar, 2002).

Yang kurik itu kundi,

yang merah itu saga,

yang baik itu budi,

yang indah itu bahasa.

Pantun di atas menggambarkan bahawa pentingnya penggunaan bahasa bagi menggambarkan budi seseorang. Penggunaan bahasa yang betul oleh si pemakainya menggambarkan si pemakai mempunyai budi pekerti yang tinggi. Kesantunan bahasa adalah alat untuk menunjukkan kehalusan budi bahasa dan peradaban. Selain itu penggunaannya adalah untuk menjaga perasaan orang lain.

Tatabahasa atau tatacara berbahasa harus sesuai dengan norma-norma budaya sesuatu masyarakat yang menggunakan bahasa. Kesantunan bahasa sesuatu masyarakat sering kali dipengaruhi oleh norma-norma budaya masyarakat tersebut. Bahasa yang baik menunjukkan budaya yang sihat sesuatu masyarakat dan sebaliknya (Pelita Brunei, Sastera Dan Budaya).

Bangsa Melayu amat terkenal dengan kesantunan bahasa mereka. Bahasa Melayu sering dikaitkan dengan bahasa yang indah, sopan dan lembut yang sering diperlihatkan melalui pertuturan kita. Kesantunan orang-orang Melayu akan terserlah dengan penggunaan penanda-penanda sopan, iaitu beradab sebanyak mungkin kepada si pendengar.

“Kesantunan bahasa ialah tatacara atau peraturan yang wujud dalam berbahasa. Kesantunan bahasa sering kali dapat dilihat dalam interaksi antara individu yang berkomunikasi.”

Pelita Brunei, Sastera dan Budaya

Semakin banyak penanda santun digunakan dalam sesuatu ujaran maka akan bertambahlah tingkat kesantunan si penutur (Asmah Hj Omar, 2002). Ia sesuai dengan ciri-ciri kesopanan yang dimiliki oleh orang-orang Melayu yang dianggap pemalu, lembut dan penuh keprihatinan terhadap orang lain.

Walau bagaimanapun, kesantunan berbahasa dalam sesebuah masyarakat itu bersifat khusus. Apa yang dianggap sebagai sopan dalam sesuatu bahasa atau masyarakat, mungkin dianggap sebaliknya dalam bahasa atau masyarakat lain. Ini adalah kerana bukan semua bahasa atau masyarakat memberikan penekanan yang sama kepada sesuatu aspek kelakuan itu dalam menentukan atau menetapkan soal kesopanan (Asmah Hj Omar, 2002).

Akhir-akhir ini semakin banyak orang yang mempunyai bahasa tetapi tidak berbahasa yakni tiada kesantunan bahasa, baik orang tua, baik muda, baik orang bawahan mahupun atasan. Hal ini berlaku di tempat-tempat kerja seperti di kilang, di firma swasta, di pejabat-pejabat awam dan juga turut berlaku di rumah, di tempat membeli-belah dan sekolah.

Masalah kurangnya aspek kesantunan berbahasa ini sering terjadi pada pihak-pihak yang berkhidmat di kaunter-kaunter barisan hadapan (customer service). Tiada lagi kesantunan berbahasa ketika tetamu atau pelanggan yang hadir meminta bantuan atau minta perkhidmatan pada pekerja yang berkhidmat di kaunter-kaunter barisan hadapan, dan jabatan-jabatan yang bertanggungjawab dalam penguatkuasaan, seperti polis dan imigresen. Bahkan cara pertuturan mereka pula amat atau sedikit kasar serta tiada senyuman yang terukir di wajah mereka.

Manakala mereka yang menggunakan kata carutan atau sumpahan boleh berlaku pada dua tahap iaitu secara sedar atau sengaja semasa bercakap untuk tujuan tertentu seperti ingin menyakiti hati atau menghina atau menghina sesuatu pihak, menjadi agresif serta perlihatkan sikap tertentu terhadap pihak yang dicemuhkan itu. Tahap yang kedua ialah secara tidak sedar atau tidak sengaja yang mengakibatkan pengucapan kata ‘kotor’ secara spontan, di tahap ini berlaku semasa seseorang itu menghadapi tekanan emosi seperti dimalukan di khalayak, atau sewaktu melatah dalam kalangan masyarakat Melayu (Abdull Sukor Shaari et-al, 2003).

Setelah membincangkan tentang siapa, di mana dan bila, maka dapatlah kita mengambil sedikit kesimpulan tentang punca atau faktor-faktor penyebab kurangnya kesantunan bahasa ketika berkomunikasi. Di sini terdapat beberapa faktor yang menyebabkan terhasilnya bahasa yang tiada kesantunannya, iaitu disebabkan oleh gangguan emosi, kurangnya ilmu pengetahuan tentang tatabahasa bahasa Melayu dan kebudayaan masyarakat Melayu tika kata-kata yang diujarkan atau dituturkan secara disengajakan atau sekadar bergurau senda.

Kurangnya aspek kesantunan berbahasa dalam suatu situasi kemungkinan disebabkan oleh gangguan emosi, mungkin sedang marah atau sedang ada masalah yang menimpa si penutur maka terkeluarlah kata-kata yang tidak sopan atau kata yang agak kasar nadanya. Hal ini boleh jadi disengajakan ketika menuturkan kata-kata demikian untuk melepaskan perasaan marah atau kekusutan fikiran, dan besar kemungkinan juga tidak disengajakan kerana sedang alpa atau lalai dibuai perasaan emosi tersebut (Abdull Sukor Shaari et-al, 2003).

Selain itu kurangnya ilmu pengetahuan tentang tatasusila bahasa Melayu dan kurang pengetahuan tentang adat budaya masyarakat orang Melayu juga boleh menjadi faktor kurangnya aspek kesantunan berbahasa (Asmah Hj. Omar, 2002). Perkara ini terjadi pada mereka yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu atau mereka tidak dididik dalam masyarakat Melayu. Tetapi terdapat juga penutur berbangsa Melayu yang tetap kurang fasih mengenai tatabahasa bahasa Melayu atas alasan mereka tidak bersekolah.

Walau bagaimanapun, penilaian tentang kesantunan berbahasa sebenarnya ditentukan secara mutlak oleh pihak yang mendengar atau yang diajak bercakap. Di mana sering kali terjadi apabila pihak yang mendengar atau diajak bercakap menganggap dan menuduh pihak yang bercakap itu berlaku kurang sopan terhadapnya, misalnya si penutur sengaja menuturkan sesuatu yang menyinggung perasaan si pendengar, padahal si penutur tidak pernah berniat untuk berbuat demikian.

Terdapat beberapa cara untuk menampilkan kesantunan berbahasa, di antaranya ialah cara sapaan lisan atau bertulis menggunakan bahasa Melayu dengan sopan santun supaya tidak dianggap sebagai biadab atau tidak berbudi bahasa. Terdapat juga pelbagai situasi yang berbeza yang menuntut kita, yakni penutur bahasa untuk menggunakan bahasa yang menepati situasi dan kehendak social. Maka kita harus menggunakan bahasa yang bersesuaian, nada atau intonasi yang tepat serta gaya bahasa yang sesuai dengan situasi dan sekeliling (George Yule, 1985).

Hal yang diperlukan juga, selain kebolehan menghasilkan dan menginterpretasi ayat-ayat dalam bahasa Melayu dengan tepat ialah berkebolehan menggunakan bahasa Melayu yang sesuai; yang mematuhi adat dan resam berbahasa Melayu: mengikut pelbagai situasi sosial atau budaya yang sudah tentu harus mematuhi prinsip dan laras kesantunan berbahasa Melayu (Pelita Brunei, Sastera dan Budaya).

Maka berucap dan bersalamanlah ketika bertemu. Mulakan hari dengan sikap ramah dan terbuka. Seperti yang disabda Rasulullah Sallalahu Wasallam: “Sesungguhnya Allah menyukai sikap berlemah-lembut dalam semua perkara.” dan ini telah penganut agama Islam harus mempraktikkan kesantunan bahasa dan kelakuan yang baik.

Sebagi kesimpulan, kita harus mempertahankan kesantunan bahasa ketika kita berkomunikasi. Kesantunan berbahasa ketika kita berinteraksi akan membuat hidup kita lebih aman dan tenteram kerana tiada satu pun individu yang akan tersinggung jika kita mempraktikkan kesantunan bahasa ketika berinteraksi antara satu dengan yang lain.

Oleh itu bahasa yang sopan perlu ditekankan ketika berkomunikasi kerana kesantunan bahasa adalah alat untuk menunjukkan kehalusan budi bahasa dan peradaban, selain itu penggunaannya adalah untuk menjaga perasaan orang lain. Seperti yang kita tahu bahawa masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan budi pekerti dan kesantunan bahasa yang mulia. Oleh itu, kita harus mempertahankannya.

 

 

Bibliografi

Yule, George (1985) The Study Of Language: Second Edition, Cambridge University Press

Asmah Hj. Omar (2002) Setia dan Santun Bahasa, Institute Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Pelita Brunei, Sastera dan Budaya

(2006) Kamus Dewan: Edisi Keempat, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Keris Mas (1988) Perbincangan Gaya Bahasa Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdull Sukor Shaari, Nuraini Yusoff & Mohd Isha Awang, (2003) Bahasa Melayu Komunikasi. Pahang Darul Makmur: PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd

About Sirna Kalam Maya
Seorang yang keliru dan kritis dalam menerjah alam nan tiada batasan ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: