Kajian Inisiatif: Anugerah Tun Seri Lanang

Jenis Inisiatif: Anugerah Tun Seri Lanang

Pengasas: Majlis Bahasa Melayu Singapura

 

Latar Belakang MBMS

Majlis Bahasa Melayu Singapura ditubuhkan pada bulan April 1981 sebagai Jawatankuasa Pembakuan Ejaan Melayu oleh Kementerian Kebudayaan Singapura. Jawatankuasa ini bertugas untuk memastikan semua ejaan bahasa Melayu yang digunakan di Singapura ditulis dengan betul menurut kaedah baru ejaan rumi yang dipakai di Malaysia dan di Indonesia.

Pada tahun 1983, Jawatankuasa Ejaan Melayu tersebut diubah menjadi Jawatankuasa Bahasa Melayu Singapura yang diletakkan di bawah naungan Kementerian Kebudayaan dan sekarang, Kementerian Penerangan dan Kesenian. Dari tugas memantau sistem ejaan bahasa Melayu di Singapura, fungsi Jawatankuasa Bahasa Melayu diperluas kepada perkembangan dan permajuan bahasa Melayu di Singapura. Memandangkan aktiviti dan tanggungjawab yang dipikul oleh jawatankuasa tersebut semakin luas dalam bidang bahasa Melayu, maka status ’Jawatankuasa’ diubah menjadi kepada “Majlis”.

Dengan itu, pada bulan September 1992, jawatankuasa tersebut dikenali sebagai Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS). Tugas Majlis Bahasa Melayu Singapura adalah untuk membakukan sistem ejaan bahasa Melayu di Singapura. Ini termasuk untuk membincangkan, memutuskan, dan memilih istilah-istilah yang sesuai serta menyelesaikan masalah berkenaan istilah bahasa Melayu, menangani masalah pencemaran Bahasa Melayu di Singapura dan mengembangkan, mempertingkatkan, dan menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu di Singapura.

 

Visi MBMS

 

Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) melihatkan visinya untuk melestarikan Bahasa Melayu Singapura agar ia baku dan dinamik, dan amat dibanggakan oleh penggunanya.

 

 

 

Misi MBMS

Pemeliharaan Status Bahasa

Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) sebagai sebuah institusi pemikir dan pemelihara bahasa Melayu yang menentukan status, dasar dan arah perkembangan dan pembinaan bahasa Melayu di Singapura dan menjadi pakar rujuk atau penasihat kepada Pemerintah Singapura dalam hal dan urusan bahasa Melayu di kementerian dan badan berkanun.

 

Peneraju Kegiatan Bahasa

Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) sebagai institusi induk atau pusat yang berwibawa menerajui, merancang, menyelaras dan melaksanakan program penyelidikan, pengembangan, peningkatan dan penggalakan bahasa, sastera dan persuratan Melayu yang berkesan di Singapura, alam Melayu dan dunia antarabangsa.

 

Pendukung Pengembangan Bahasa

Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) sebagai pendukung utama yang bertanggungjawab untuk menggalakkan penghasilan, pemupukan dan pengiktirafan golongan elita dan rakan bahasa serta budaya Melayu sebagai ikon masyarakat.

 

 

MABBIM – Peranan MBMS

 

Majlis Bahasa Melayu Singapore (MBMS) mewakili Singapura disidang-sidang MABBIM. MABBIM atau Majlis Bahasa Brunei, Indonesia, dan Malaysia merupakan sebuah badan serantau yang ditubuhkan pada 29 Disember 1972 untuk memastikan bahasa Melayu yang digunakan di Indonesia, Malaysia, dan Brunei Darussalam berkembang terus untuk menjadi bahasa pertuturan bersama untuk lebih 200 juta orang manusia di rantau ini. Di antara bidang usaha bersama yang dibincangkan disidang MABBIM termasuklah penyeragaman dalam masalah-masalah ejaan, istilah, dan tatabahasa.

Singapura, sebuah negara yang menggunakan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan salah satu daripada empat bahasa rasminya, menjadi pemerhati dalam sidang-sidang MABBIM sejak tahun 1985. Majlis Bahasa Melayu Singapore (MBMS) mengakui manfaat yang diperolehi sejak menghadiri sidang-sidang MABBIM yang termasuk:

Persetujuan-persetujuan yang dibuat Sidang MABBIM telah membantu Singapura mengikuti perkembangan bahasa Melayu,

Singapura tidak perlu lagi bergantung pada sumber-sumber tidak rasmi berkenaan maklumat tentang ejaan dan peristilahan bahasa Melayu yang sering diterima lewat atau tidak lengkap,

Majlis Bahasa Melayu Singapore (MBMS) dapat menawarkan bantuan sebagai badan berkuasa dan rujukan rasmi berkenaan bahasa Melayu bagi sekolah-sekolah, media massa dan masyarakat awam, dan

Membantu menyelarikan penggunaan bahasa Melayu di Singapura dengan bahasa Melayu standard kini. Jika tidak, Singapura akan tertinggal dalam aspek ejaan dan peristilahan bahasa Melayu.

 

 

Latar Belakang Bulan Bahasa

Selain daripada tugas-tugas mengembang, memaju dan menggalakkan penggunaan bahasa Melayu di Singapura, Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) merupakan penganjur dan pengasas dua aktiviti penting di Singapura iaitu Bulan Bahasa dan Anugerah Persuratan.

Bulan Bahasa mula diperkenalkan di Singapura pada tahun 1962 yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Budaya Kebangsaan, sebuah badan yang ditubuhkan oleh pemerintah untuk mengembangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Selepas Dewan Bahasa dan Budaya Kebangsaan dibubar pada tahun 1969, aktiviti-aktiviti Bulan Bahasa tersebut lenyap begitu sahaja.

Pada 1982, Majlis Pusat, sebuah badan kebudayaan di bawah naungan Kementerian Kebudayaan Singapura cuba menghidupkan dan telah menganjurkan Bulan Bahasa Melayu. Namun, pada tahun-tahun selepas itu, Bulan Bahasa Melayu tidak kedengaran lagi. Pada tahun 1988, aktiviti Bulan Bahasa dihidupkan semula oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) (ketika itu Jawatankuasa Bahasa Melayu Singapura) dan badan-badan setempat sehingga kini.

Melalui aktiviti-aktiviti Bulan Bahasa, Majlis Bahasa Melayu Singapore (MBMS) mengharapkan agar dapat menyatu dan menyelaraskan kegiatan-kegiatan yang bercorak kebahasaan di Singapura sehingga menjadi sesuatu kegiatan masyarakat dan nasional yang penting. Melalui Bulan Bahasa, Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) telah berjaya membina suatu landasan ke arah pembentukan suatu tradisi kegiatan bahasa yang penting di Singapura.

Kegiatan-kegiatan bahasa tersebut dianjurkan oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dengan bantuan badan-badan setempat. Baban-badan ini diberi pemohonan untuk mendapatkan subsidi dari Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) untuk menjalankan kegiatan-kegiatan mereka. Jumlah subsidi yang diberi ini bergantung kepada jumlah peserta yang terlibat dan kesan aktiviti tersebut dalam perkembangan bahasa Melayu.

 

Latar Belakang Anugerah Persuratan

 

Anugerah persuratan merupakan usaha berterusan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dalam mengiktiraf para penulis yang bergiat dalam seni persuratan. Anugerah Persuratan dilaksanakan dengan hasrat yang berikut:

Memberi pengiktirafan kepada para penulis yang telah menghasilkan karya yang bermutu dan bernilai;

Meningkatkan dan memupuk perkembangan penulisan dalam kalangan penulis berbahasa Melayu;

Menggalakkan penerbitan karya yang bermutu; dan

Memasyarakatkan bidang persuratan.

 

Ia adalah sebuah anugerah yang dicetuskan oleh ASAS 50 atau Angkatan Sasterawan ‘50 yang bermula pada tahun 1973, sebagai pengiktirafan bagi penulis-penulis dan karyawan di Singapura. Ia merupakan anugerah Hadiah Sastera yang diberi kepada karyawan dengan harapan untuk menggalakkan penulis-penulis muda dan yang berpengalaman untuk terus menulis karya-karya sastera agar dapat memperkayakan dunia sastera Melayu. Sekaligus melalui inisiatif begini, penulis-penulis akan mendapat pengiktirafan dan galakkan yang sewajarnya. Melalui inisiatif ini juga, terlihat ramai penulis-penulis muda yang bangkit dan menyumbang ke arah memasyarakatkan sastera dan persuratan di Singapura. 

Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) telah menganjurkan Anugerah Persuratan sejak tahun 1993. Anugerah Persuratan dianjurkan secara berselang-seli dengan Bulan Bahasa iaitu dua tahun sekali. Hadiah-hadiah Anugerah Persuratan diberikan kepada warganegara dan penduduk tetap Singapura.

Anugerah Persuratan telah memutuskan enam bidang utama untuk dinilai, iaitu,

Esei / Kritikan – Esei / Kritikan Sastera Eceran

– Esei / Kritikan Bukan Sastera

– Kumpulan Esei / Kritikan Sastera

– Kumpulan Esei / Kritikan Bukan Sastera

Buku Kajian – Buku Kajian Sastera

– Buku Kajian Bukan Sastera

Novel – Novel

Cerpen – Cerpen Eceran

– Kumpulan / Antologi Cerpen

Sajak – Sajak Eceran

– Kumpulan / Antologi Sajak

Drama / Skrip – Drama / Skrip (Drama Pentas / Teater / Televisyen / Radio)

– Kumpulan/Antologi Drama(Drama Pentas / Teater / Televisyen / Radio)

Jenis-jenis Anugerah Persuratan yang diberi oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) ialah:

Anugerah Tun Seri Lanang

Anumerta Tun Seri Lanang

Anugerah Harapan

 

Anugerah Tun Seri Lanang

 

Anugerah Tun Seri Lanang, merupakan antara pengiktirafan tertinggi bagi sasterawan tanpa mengira genre sasteranya. Pemberian anugerah ini adalah khas untuk karya-karya yang terbaik di antara karya-karya yang memenangi hadiah sastera bagi setiap musiman. Semenjak ia dimulakan, anugerah ini telah melihat peredaran zaman serta berbagai penulis-penulis yang mapan sebagai penerimanya. Antaranya ialah Masuri SN (Allahyarham), Mohd Latiff Mohd, Mohd Ariff Ahmad, Isa Kamari, A. Ghani Hamid dan ramai lagi.

Sehingga kini, akibat daripada pengiktirafan ini, kita melihat ramai penulis-penulis yang lebih peka akan kesusasteraan, persuratan serta permasalahan masyarakat kita. Ia juga adalah antara-sebab-sebab mengapa Bahasa Melayu dan Sastera masih lagi kelihatan relevan di Singapura yang serba ditelan arus pemodenan dan bermasyarakat yang terlalu asyik dengan bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Setiap tahun, akan terdapat beberapa penulis yang diberi pengiktirafan ini sebagai penghargaan atas subagent mereka dalam bidang bahasa, sastera dan persuratan. Pengiktirafan anugerah ini dianjurkan oleh Majlis Bahasa Melayu Singapore (MBMS).

Anugerah ini diperutukkan bagi menghargai tokoh persuratan setempat yang sama ada:

Menjadi tokoh seni yang ulung di mata masyarakat berbilang dan budaya Singapura,

Melalui karya besar mereka telah meletakkan mereka sebagai tokoh antara bangsa,

Menjadi ‘pejuang’ seni yang menggunakan sebahagian besar usia dan kehidupan mereka untuk menyubur dan menyemarakkan bidang yang dihayati dan/atau,

Menghasilkan karya yang memberikan sumbangan untuk memajukan pemikiran masyarakat dalam konteks pembangunan.

Hanya satu sahaja Anugerah Tun Seri Lanang (1993) yang akan diberikan bagi setiap musiman dan nilai yang ditetapkan ialah sebanyak lima ribu dolar ($5,000.00) kepada tokoh persuratan yang masih hidup. Bagi tokoh persuratan yang telah meninggal dunia, satu anugerah khas telah diperutukkan oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) iaitu ‘Anumerta Tun Seri Lanang’.

Pada tahun 1995, nilai hadiah anugerah ini ditingkatkan kepada tujuh ribu dolar ($7,000.00). Tujuannya ialah untuk menyamaratakan dengan nilai hadiah ‘Anumerta Tun Seri Lanang’ yang bermula pada tahun ini.

Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) telah menyediakan geran bernilai lima ribu dolar ($5,000.00) kepada penerima Anugerah Tun Seri Lanang, di samping hadiah wang tunai untuk anugerah tersebut. Geran ini mula diperkenalkan pada tahun 2009, dengan harapan agar ia dapat membantu pemenang untuk membiayai kos penerbitan karya atau kajian mereka.

 

Anumerta Tun Seri Lanang

 

Anumerta Tun Seri Lanang merupakan hadiah sastera yang sama tarafnya dengan Anugerah Tun Seri Lanang. Bermula pada tahun 1995, ia adalah sebuah pemberian anugerah bagi penulis-penulis atau karyawan-karyawan yang sudah meninggal dunia. Antara mereka yang menerima anugerah ini ialah Ismail HajI Omar (Allahyarham) dan Suradi Parjo (Allahyarham).

Nilai anugerah ini berjumlah sebanyak tujuh ribu dolar ($7,000.00). Sebanyak dua ribu dolar ($2,000.00) akan diberikan kepada keluarga Allahyarham / Allahyarhamah, manakala selebihnya pula akin diperutukkan kepada penulis / pengkaji yang hendak meneliti dan membukukan ketokohan dan kekaryaan ahli persuratan yang terpilih. Kriteria pemilihan adalah serupa dengan pemilihan Anugerah Tun Seri Lanang.

 

 

 

 

Anugerah Harapan

 

Anugerah ini diberi kepada golongan penulis muda, iaitu dibawah usia empat puluh (40) tahun, yang telah banyak menunjukkan potensinya dan menyumbang dalam bidang sastera dan persuratan.

Anugerah ini mula diperkenalkan oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura, sempena majlis Anugerah Persuratan 2009 yang berlangsung pada 7 November 2009. Penerima anugerah yang pertama pada tahun itu ialah Cik Noor Hasnah Adam atas sumbangan beliau dalam bidang persuratan dan sastera di Singapura.

Sebanyak tiga ribu dolar ($3,000.00) diperuntukkan sebagai hadiah bagi penulis yang dipilih dan dianggap aktif dalam menggerakkan dunia persuratan Melayu di sini.

 

Penutup

Majlis Bahasa Melayu Singapore (MBMS) dalam penyumbangannya yang konsisten ialah dalam melestarikan dan mengekalkan penggunaan Bahasa Melayu di Singapura agar ia kekal relevan; disambil perlunya untuk mengiktiraf penulis-penulis dan karya-karya mereka.

Anugerah Persuratan adalah cetusan pengiktirafan yang bermula dari Angkatan Sasterawan ‘50 (ASAS50) sebagai mengenal dan memartabatkan penulis-penulis tanah air atas sumbangan mereka. Bidang-bidang yang ditelitikan ialah, antaranya sajak, cerpen, novel, skrip drama, kajian dan esei kritikan.

Selain daripada enam bidang tersebut, Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) telah memperutukkan tiga jenis anugerah khas bagi menyemarakkan penulis tanah air kita, iaitu Anugerah Tun Seri Lanang, Anumerta Tun Seri Lanang dan Anugerah Harapan.

Anugerah Tun Seri Lanang, adalah antara anugerah yang tertinggi yang diadakan untuk mengenal pasti dan mengiktiraf penulis-penulis di Singapura. Manakala, Anumerta Tun Seri Lanang pula merupakan pengiktirafan bagi para penulis yang telah meninggal dunia. Kedua-dua anugerah (Anugerah Tun Seri Lanang dan Anumerta Tun Seri Lanang) diperutukkan bagi menghargai tokoh persuratan setempat yang sama ada:

Menjadi tokoh seni yang ulung di mata masyarakat berbilang bangsa dan budaya Singapura,

Melalui karya besar mereka telah meletakkan nama mereka sebagai tokoh antarabangsa,

Menjadi ’pejuang seni’ untuk menyubur dan menyemarakkan bidang yang dihayati,

Menghasilkan karya yang memberi subagent untuk memajukan pemikiran masyarakat dalam konteks pembangunan.

Seramai 14 tokoh persuratan telah diiktiraf sumbangan mereka sejak ia diperkenalkan pada 1993: Tujuh bagi Anugerah Anumerta dan selebihnya untuk Anugerah Tun Seri Lanang.

Anugerah Harapan yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2009, adalah bagi menyemarakkan lagi bakat penulis muda, iaitu dibawah empat puluh (40) tahun. Tujuannya ialah untuk memberi pengiktirafan kepada golongan ini bagi sumbangan mereka dalam bidang persuratan.

Lantas, dengan adanya badan-badan seperti Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) dan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), penulis-penulis di Singapura akan sentiasa mendapat galakan atas sumbangan mereka dalam bidang persuratan dan sastera.

 

 

Rujukan:

Majlis Bahasa Melayu Singapore (1993) Anugerah Persuratan 1993. Singapura

Majlis Bahasa Melayu Singapore (1995) Anugerah Persuratan 1995. Singapura

Majlis Bahasa Melayu Singapore (1997) Anugerah Persuratan 1997. Singapore Press Holdings, Singapura

Majlis Bahasa Melayu Singapore (2001) Anugerah Persuratan 2001. Singapore Press Holdings, Singapura

Majlis Bahasa Melayu Singapore (2007) Anugerah Persuratan 2007. Singapura

Mohamed Pitchay Ghani Mohamed Abdul Aziz (Ed.) (2005) Dari Gerhana Ke Puncak Purnama: Biografi ASAS 50, 55 Tahun Dalam Persuratan. Angkatan Sasterawan 50, Singapura.

Lelaman Majlis Bahasa Melayu Singapura: http://www.mbms.sg yang dilayari pada 20 Disember 2010.

Lelaman Cyberita Online Singapura, Berita Harian:

http://cyberita.asia1.com.sg/singapura/story/0,3617,137414,00.html yang dilayari pada 21 Disember 2010

About Sirna Kalam Maya
Seorang yang keliru dan kritis dalam menerjah alam nan tiada batasan ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: