Penulis dikatakan hanya mementingkan diri…

Salam para peneliti yang dihormati,
 
Sila lihat gambar sisipan ini…Pengkhutbah Nista
 
Sebelum ditelitikan mengenai apa yang dikatakan oleh penulis pautan Facebook ini, molek agar fakir memberi keterangan ringkas mengenai latar-belakang penulis ini. 
 
Penulis blog ini merupakan seorang penuntut di NIE, Special Training Programme (STP) yang bakal menjadi seorang guru Bahasa Melayu (insya-allah).  Beliau juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa Angkatan Sasterawan 50 (ASAS50), Sayap Belia. 
 
Yang amat memelikkan fakir akan ucapannya itu, ialah mengenai penulis  yang hanya berjuang berlandaskan ‘aku’ dalam kamus hidup mereka.  Sekiranya si ‘pejuang’ ini merupakan seseorang yang telah berumur dan telah sempurna mengamati dunia sepenuhnya, tidak mengapalah  jika dia berkata sedemikian.  Malangnya, umurnya baru sahaja mencecah awalan 20-an dan hanya mengamati dunia melalui lensa yang nipis sekali.  Bukan sahaja itu, beliau bukan merupakan seorang karyawan mahupun sasterawan yang telah menyumbang kepada dunia pengkaryaan tempatan mahupun diluar negara.
 
‘Pejuang’ muda ini telah menekankan pada awal ucapannya itu, ‘…golongan-golongan penulis semuanya sama; semuanya tentang aku, aku dan aku…’, yang secara tidak langsung telah menempatkan semua penulis-penulis dunia, baik yang hidup mahupun yang telah tiada, antara yang protagonis dan juga antagonis, dalam cakupan penulis yang hanya mementingkan dirinya sendiri. 
 
Entah mengapa kata-katanya itu beralunan bak lirik yang tidak bernada dan tidak mengikut rentak semasa.  Seleranya hanya berasaskan citra dan bekalan nafsunya, tanpa memandang isi dan ragam sebenar seseorang penulis itu. 
 
Mungkin ada sedikit ketepatan dari apa yang dimuntahkan oleh si ‘pejuang’ mentah ini.  Namun, dengan menggolongkan SEMUA penulis dalam rangkuman ‘AKU’ adalah sesuatu yang tidak adil. 
 
Lahiriah, penulis secara am, sememangnya memperjuangkan rasa hati mereka sendiri untuk berkarya.  Sememangnya penulis suka menulis, dan dengan membukukan atau mengongsikan karya-karya mereka kepada khalayak adalah satu cara bagi penulis untuk meluahkan perasaan serta pengalaman mereka kepada mereka yang berminat.  Selain itu, perjuangan penulis ialah untuk memperkayakan khazanah pengkaryaan sesuatu bangsa itu.  Secara tidak langsung, penulis telah berkhidmat kepada bangsa tersebut, malah pada negara.
 
Zahiriah, tidak semua penulis sama.  Sudah lumrah manusia, bukan hanya terikat kepada golongan penulis, malah semua umat manusia yang ada di dunia ini, tiada satu yang sama.  Masing-masing mempunyai agenda mereka tersendiri untuk berjuang agar diri mereka berada di menara gading.  Ada yang menulis kerana ia adalah sebahagian daripada periuk nasi mereka.  Ada yang menulis kerana menginginkan darjat dan nama.  Ada juga yang menulis kerana ia adalah bagai hobi atau wadah untuk meluahkan tekanan jiwa mereka.  Dan ada menulis kerana ingin berjuang. 
 
Kendati, siapa pun penulis itu, baik yang tua ataupun yang muda, hasrat sebenar mereka berkarya ialah satu.  Iaitu PERJUANGAN.  Sama ada perjuangan mereka berasaskan ‘AKU’ atau tidak, bukanlah sesuatu perkara yang molek dipertikaikan oleh sesiapa sahaja dalam dunia ini.  Yang penting, mereka tidak merosakkan bangsa dan negara melalui karya mereka.  Setiap karya itu adalah sumbangan kepada bangsa dan negara, dan harus diterima sebagai perjuangan. 
 
Untuk berkarya, bukanlah merupakan sesuatu yang mudah.  Karya adalah buah yang ditunas dari pohon minda seseorang itu.  Ia mengambil masa, serta  usaha untuk menghasilkan sebuah pohon yang mampu menghasilkan buah-buahan dari baka yang baik, lagi berkualiti.  Bukan itu sahaja, sama ada seseorang peladang (penulis) ingin bersedekah (menyumbang) atau menjual (meraih untung) buah-buahan hasil dari keringat mereka itu, adalah hak tersendiri.  Tiada sesiapa, yang berhak untuk memaksa atau mengkritik para karyawan sekiranya mereka enggan menyumbang karya mereka kepada mana-mana orang ketiga.
 
Hal ini persis dengan kehendak si ‘pejuang’ FaceBook ini.  Secara tidak langsung, beliau juga cuba mencemar nama-nama penulis agar beliau dan kata-katanya kelihatan lebih relevan dan nyata di mata dunia.  Malangnya, si ‘pejuang’ ini mungkin lebih kurang puas hati terhadap penulis-penulis yang enggan mengikut rentak tarinya.  Lumrah manusia, kalau perjuangan tersendiri tidak dapat dilaksanakan oleh kerana tiada  sokongan daripada golongan yang mereka harapkan (dalam hal ini, para penulis), akan dikritik dan dicerca.  Sekiranya mereka berjaya mendapatkan segala yang diinginkan, bukan main lagi sorakkan dan laungan kegembiraannya.  Entah, apa sebenarnya yang mungkin telah mengaburi mata  si ‘pejuang’ ini daripada melihat dan menerima kenyataan dan hakikat.
 
Si ‘pejuang’ menekankan juga bahawa ‘… golongan aku, aku dan aku ini dibelenggu aura negativisme kerana sikap akunya…’.  Dalam menghuraikan hal ini, mengapa penulis dikatakan ‘dibelenggu aura negativisme’, sedangkan segala yang dijuangkan oleh penulis adalah demi memupuk sikap yang POSITIF dalam diri umat manusia.  Sekiranya semua penulis itu adalah negatif, maka tiada karya yang dihasilkan mereka itu diterima dan dipuja ramai.  Contohnya, sajak ‘INI NASI YANG KUSUAP’ oleh almarhum Masuri SN;
 
INI NASI  YANG KUSUAP
 
Ini nasi yang kusuap
pernah sekali menjadi padi harap
melentok dipuput angin pokoknya kerap
tenang berisi tunduk menatap

Ini butir nasi yang kukunyah
sedang kutelan melalui tekak basah
jadi dari darah mengalir
dalam badan gerak berakhir

Angin kencang mentari khatulistiwa
membakar raga petani di sawah
panas hujan dan tenaga masuk kira
dan nasi yang kusuap campuran dari manusia

Ini budi yang kusambut
pemberian lumrah beranting dan bertaut
ini nasi hasil dari — kerja
kembali pada siapa yang patut menerima

Jadi yang kumakan bukan berasal dari nasi
tapi peluh, darah, dalam isi mengalir pasti
jadi kutelan bukan berasal dari padi
tapi dari urat dari nadi seluruh pak tani

~ Masuri S.N (Dipetik dari Puisi Baharu Melayu)

Melalui karya sajaknya ini, mungkinkah ‘aura negativisme’ dapat dirasakan atau dibaca sepertimana yang diutarakan oleh si ‘pejuang’ tadi?  Sajak ini semolek-moleknya mendidik pembaca akan pentingnya nasi itu serta penghasilannya.  Satu lagi karya ialah sajak ‘Tetamu Senja’ oleh A. Samad Said;

TETAMU SENJA

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala
 
Pada tetamu yang datang dan 
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan
 
Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad
 
Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas
 
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat 

~ A. Samad Said

Sekiranya penulis-penulis sebenar-benarnya membawa ‘aura negativisme’, tidak mungkin akan terhasil sekuntum puisi yang cuba memperingkatkan golongan pembaca pada isu mati dan agama.  Hal mati tidak boleh dianggap negatif kerana pada hakikatnya, ia adalah tuntutan agama dan kepercayaan setiap umat manusia dan dan agama.

Sekiranya sajak-sajak yang diberi tidak mencukupi, mungkin novel ‘SUBUH HILANG SENJA’ oleh Suratman Markasan atau, cerpen ‘SATU MACAM PENYAKIT’ oleh Yazid Hussein boleh dijadikan sandaran diantara karya-karya yang beraneka dan jumlahnya yang tiada terbilang, untuk mengukuhkan lagi perdebatan ini.

Yang fakir rasa bahawa si ‘pejuang’ telah menempelak dirinya sendiri atas hujah-hujahnya di atas (lihat lampiran), ialah apabila beliau memulakan kata-katanya dengan ‘Hari ini aku katakan…’ yang secara tidak langsung telah menyamakan dirinya dengan ‘aku-aku’ yang lain, yang mana mereka dikatakan sebagai ‘… satu, hanya aku di bumi ini.  Dua, hanya aku sahaja betul.  Tiga, hanya aku yang terbaik. Aku, aku, dan sememangnya aku sahaja…’.  Hal ini tidak ubah dengan sikap dan pendirian si ‘pejuang’ mentah ini.  Pada dasarnya, beliau cuba memperlihatkan perjuangan dan semangat kemasyarakatan dan kemanusiaan yang jitu, malangnya perbuatannya itu bak ‘membasuh najis dengan mala’, iaitu dengan secara terbuka ‘mengata dulang paku serpih’.

Kendati apapun yang dinyatakan di sini, sama ada, ada yang menyokong hujah-hujah ini atau tidak adalah hak masing-masing.  Fakir telah menulis dan mengkritik si ‘pejuang’ ini dalam blog ini, atas dasar menginginkan menegakkan segala kebenaran (melalui cara tersendiri).  Cuma, beberapa soalan yang perlu difikirkan dalam pembicaraan ini.

1) Adakah benar apa yang diucapkan oleh si ‘pejuang’ ini?
2) Adakah benar hidup penulis itu hanya berlandaskan ‘aku’ sahaja?
3) Mungkinkah si ‘pejuang’ alpa akan perjuangannya itu, juga berlandaskan ‘aku’, kerana menginginkan takhta dan darjat (dalam keadaan di bawah sedar)?
 
 
Sirna Kalam Maya
2 Februari 2011

About Sirna Kalam Maya
Seorang yang keliru dan kritis dalam menerjah alam nan tiada batasan ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: