Memartabatkan Kesenian Melayu Ke Taraf Antarabangsa: Melayu Kekal Relevan, Bahasa Diterima Dunia.

Pengenalan

Tika memikirkan tentang kemajuan bangsa-bangsa asing, terutama sekali kemajuan bangsa China, Itali, Perancis, Amerika dan India, mungkin apa yang menjadi persoalan ialah bagaimana bangsa-bangsa ini dapat menglobalisasikan kesenian dan bahasa mereka? Sehinggakan budaya, seni dan bahasa mereka boleh diterima khalayak dengan hati yang terbuka.

Apakah kesenian dan bahasa Melayu mempunyai banyak kekurangan? Ataupun adakah kita kekurangan penganut serta pengikut seni dan bahasa Melayu? Atau ia adalah akibat daripada kelemahan pentadbiran dan ‘pemasaran’ oleh penggiat-penggiat seni itu sendiri?

Ekoran ini, mampukah kita melestarikan kesenian dan bahasa Melayu itu ke peringkat antarabangsa sehingga ia boleh sejajar merentas jalur budaya global bersamaan dengan bangsa-bangsa lain.

Bak pepatah Melayu yang kerapkali didengari, ‘takkan Melayu hilang di dunia’. Seharusnya kita berpegang teguh pada pepatah ini untuk mengekalkan identiti Melayu dan menempatkannya ke taraf yang tertinggi dan dihormati. Bukan untuk melihat ‘pupusnya’ bangsa itu, akibat kelekaan dan kecuaian yang dibuai modenisasi dan globalisasi.

Dengan adanya badan-badan kesenian, persuratan, kesusasteraan dan bahasa Melayu di merata nusantara ini, Melayu masih lagi mampu mengekalkan identitinya sebagai sebuah kaum yang wujud di muka bumi ini. Badan-badan antaranya seperti MABBIM, Sri Warisan, ASWARA,Yayasan Warisan Johor, ASAS 50, Dewan Bahasa Dan Pustaka, dan sebagainya, telah dikenali dan diiktiraf akan sumbangan mereka dalam memartabatkan, melestarikan, mengekalkan dan meletakkan Melayu di muka peta.

Lantas itu, haruskah perjuangan ini hanya dilepaskan di pundak badan-badan tersebut? Tidak. Masyarakat Melayu sendiri perlu memainkan peranan, walau sekecil manapun, untuk mempertahankan kesenian dan bahasa Melayu dari terus pupus di muka bumi. Ini adalah kerana kesenian dan bahasa adalah hak milik masyarakat Melayu sendiri. Ia merupakan tanggungjawab yang harus dipikul oleh mereka. Kita tidak boleh leka dan membiarkan identiti bangsa diragut dan hilang ditelan zaman.

  

Keindahan Kesenian Dan Bahasa Melayu

Bangsa Melayu, seperti bangsa-bangsa lain di serantau asia merupakan antara bangsa yang memiliki kesenian dan bahasa yang semolek-moleknya dikatakan halus, sopan dan tertib.

Pada suatu ketika dahulu, bahasa Melayu telah mendapat pengiktirafan sebagai sebuah bahasa perantaran yang diterima ramai. Pendatang-pendatang asing ketika itu, mempelajari bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan warga-warga Melayu di Nusantara ini. Selain daripada untuk berkomunikasi, bahasa Melayu merupakan lingua-franca dalam hal-hal perdagangan dan pentadbiran (Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa, Abdul Hamid Mahmood, 1993, ms1-26).

Apabila istilah ‘kesenian Melayu’ diutarakan, seringkali ramai yang berpendapat bahawa kesenian Melayu hanya merangkumi tarian, dikir barat, melukis batik, dan ukiran. ‘Kesenian’ menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka (2005) memberi maksud ‘karya (sajak, lukisan, muzik, dan lain-lain) yang dicipta dengan bakat (kecekapan), hasil daripada sesuatu ciptaan’ dan juga ‘kebolehan mencipta sesuatu (lukisan, ukiran, dan lain-lain) yg indah-indah’. Dari penerangan maksud yang diberi oleh Kamus Dewan, kesenian merangkumi segala ciptaan sesuatu masyarakat. Ia adalah hasil daripada bakat dan kecekapan seseorang itu.

Lalu, kesenian Melayu adalah lebih luas daripada apa yang diperkatakan disini. Kesenian boleh dikategorikan kepada sembilan (9) bahagian:

  1. Seni Pementasan: Tarian, Drama, Nyanyian, Bangsawan
  2. Seni Busana/Tenun: Tusuk Sanggul, Sanggul, Songket, Batik, Dokoh, Pending
  3. Seni Pembinaan: Rumah Melayu, Ciri-cirinya, Ukiran,
  4. Seni Pertahanan Diri: Silat Gayung, Silat Harimau, Silat Pasak
  5. Seni Lukisan/Ukiran: Batik, Ukiran Kayu,
  6. Seni Masakan: Lauk-Pauk Melayu
  7. Seni Perubatan: Herba-herba Melayu, Urut,
  8. Seni Kesusasteraan: Cerita-cerita Lama, Puisi-Puisi Melayu, Peribahasa, Simpulan Bahasa,
  9. Permainan Melayu: Gasing, Congkak, Wau

 

Menurut lelaman Melayu-online (2007),

“Kesenian Melayu adalah perihal keahlian orang Melayu dalam mengekspresikan ide-ide estetika sehingga menghasilkan benda, suasana, atau karya yang dapat menimbulkan rasa indah dan kagum. Kesenian ini diciptakan sendiri oleh masyarakat Melayu dan menjadi milik Melayu secara bersama. Oleh sebab itu, kesenian Melayu merupakan representasi budaya Melayu.”
 

Lantas, tidak hairanlah yang Melayu harus mempertahankan kesenian dan bahasanya sendiri. Ini ternyata dari nukilan di atas yang mengatakan bahawa ‘kesenian’ adalah ‘perihal keahlian’, ‘diciptakan sendiri’, ‘milik Melayu secara bersama’ dan ‘representasi budaya Melayu’. Oleh sebab-sebab ini, perlulah masyarakat Melayu bersikap positif dan proactive dalam memartabatkan kesenian dan bahasanya.

Bahasa Ibunda Kurang Diperhati
Memandangkan marcapada semakin digelumangi arus pemodenan dan globalisasi yang rancak, pengaruh budaya asing terutama sekali budaya barat, merupakan punca utama bahasa ibunda (bahasa di asia) semakin kurang dipraktik dan digunakan. Masyarakat Melayu di Singapura terutamanya, anak-anak muda, lebih fasih dan selesa bertutur menggunakan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu sendiri.

Hal ini dapat dilihat melalui laporan oleh Mardiana dan Ridzuan (2005) yang menukil kata-kata Encik Yaacob Ibrahim, Menteri Air Dan Persekitaran Merangkap Menteri Hal-Ehwal Masyarakat Melayu Muslim Singapura, yang menyatakan bahawa pada tahun 1980-an penggunaan bahasa Melayu sebagai lingua-franca ketika itu ialah sebanyak 96.7%. Jumlah ini melihatkan kemerosotan pada tahun 1990-an kepada 94.3%; dan mencecah tahun 2000 pula, ia jatuh lagi kepada 91.6%.

“According to self-reports in the 1980 Singapore Population Census, 96.7% of Malay households used Malay as their main language of communication. By 1990, the figure had dropped to 94.3%; this figure slipped to 91.6% in the 2000 census. A more recent figure (cited by Yaacob Ibrahim, Minister for Environment & Water Resources and Minister-in-Charge of Muslim Affairs, at the closing ceremony of the Malay Language Month in August 2004) indicated a more dramatic slide—that almost 25% of Malay pupils now come from English-speaking homes compared to 20% in 2000 (“Find new ways”, 2004, August 2). Despite these shifts, language maintenance in the Malay community appears to be more robust than in Chinese and Indian communities.”    (Mardiana Abu Bakar, Ridzuan Abd Rahim; 2005) 
Nyata dari sini, anak-anak muda di Singapura semakin kurang menitik-beratkan bahasa Ibunda mereka. Jika gejala ini tidak dikawal atau dibendung, mungkin dalam masa dua puluh tahun yang mendatang, masyarakat Melayu akan tidak lagi mampu untuk menutur dalam bahasa Ibunda.

Alasan yang mungkin dapat menyokong kepupusan bahasa Melayu ialah ketiadaan kepentingan penggunaannya di dunia, terutama sekali di Singapura. Bahasa Inggeris semakin berleluasa penggunaannya dan ia adalah lingua-franca pada zaman milleu ini, memandangkan kuasa ekonomi dan pentadbiran dunia terletak pada negara-negara barat seperti Amerika Syarikat, Britain dan sebagainya.

Masyarakat Melayu terpaksa mengetepikan kepentingan bahasanya untuk mendapatkan tempat dalam sesebuah pekerjaan demi mencari sesuap nasi. Dalam hal ini, ia menunjukkan yang gejala ini terjadi secara ‘subtle’ atau licik dan dalam keterpaksaan yang halus oleh pengaruh-pengaruh barat.

 
Kesenian Indah Kurang Dipeduli

Kesenian Melayu sememangnya indah dan puitis. Bukan sahaja dari segi penuturannya, malah dari segi aksi, senibina, kraf dan sebagainya. Malangnya, perubahan masa yang dipengaruhi unsur-unsur barat yang keketaraan ini telah menghakis jiwa seni masyarakat Melayu.

Anak-anak Melayu semakin mengagung-agungkan kesenian barat seperti lagu-lagu rok; cara pakaian yang berunsur barat seperti seluar jean, baju blaus, ‘bare-back’ dan sebagainya; mengagungkan pelukis-pelukis seperti Michael Angelo, Picasso; menaruhkan minat pada tarian berbentuk ballet, dan break-dance; malah sastera barat seperti ‘Mid-Summers Night Dream’, juga menjadi bahan rujukan utama bagi masyarakat kita.

Kini, anak-anak Melayu di Singapura semakin giat dalam aktiviti-aktiviti seni Cina seperti dalam tarian singa atau naga. Punca utama keahlian mereka untuk menyokong seni Cina ialah pengaruh Cina di Singapura; mempunyai kumpulan rakan-rakan atau pergaulan dengan bangsa Cina; dan mereka melihat bahawa seni Cina itu lebih indah dan unik. Sehinggakan seni Melayu sendiri tidak diendahkan lagi.

Malangnya, mereka tidak melihat seni Melayu itu sendiri. Tanggapan pertama (yang mengaburi remaja lelaki Melayu) mengenai seni tari Melayu, ialah tarian hanya untuk wanita sahaja. Tarian Melayu dianggap feminis dan tidak menonjolkan unsur-unsur ‘masculine‘ atau kelakian.  Malangnya, sejarah telah banyak merakamkan kenyataan yang kukuh mengenai tarian Melayu.  Seni tari pada mulanya hanya ditarikan oleh kaum lelaki.  Terutama sekali dalam tarian zapin (zafin) atau tarian-tarian berbentuk kepahlawanan atau peperangan.

Selain itu, tanggapan masyarakat Melayu zaman milleu, akan seni Melayu, ialah ia tidak relevan sejajar dengan bahasanya, kerana ketiadaan tempat di dunia yang didominasi oleh kuasa-kuasa barat.

Kemajuan Kesenian China

Kesusasteraan dan kesenian Cina mempunyai sejarah yang lama dan padat, serta masih lagi berterusan. Sebahagiannya adalah kesan daripada perkembangan teknologi pencetakan sewaktu Dinasti Song (Sullivan, 1993). Sebelum itu, hanya terdapat manuskrip klasik dan catatan keagamaan (terutama ajaran Confucius, Taoisme, dan Buddha) yang ditulis dengan tangan menggunakan berus dakwat (awalnya mencakar cangkerang) dan diedarkan kepada rakyat jelata (Sullivan, 1993). Berpuluh ribu hasil tulisan purba masih bertahan lama hingga masa kini.

Melalui liputan sejarah Cina yang dikatakan kuno peradabannya, nyata bahawa kesenian dan kesusateraan Cina telah mampu menarik perhatian orang ramai. Selain daripada sejarah yang berabad lamanya, pelayaran bangsa Tionghua ke setiap sudut dunia juga merupakan factor yang menyumbang kepada kesuksesan dalam melestarikan peradaban Cina.

Faktor Relevan Melestarikan Seni
Walaupun warga Cina tersebar dihampir setiap pelusuk dunia, ia tidak mungkin akan sampai ke statusnya kini tanpa kaedah pemasaran yang rancak. Hal ini dikatakan sebagai punca utama dalam pengekalan dan penerimaan kesenian dan kesusasteraannya pada masyarakat global.

Setiap perkara dalam keseniannya ‘dipasar‘ dan ‘dijual’ kepada khalayak. Melalui cara ini, bahasa dan seni itu kekal relevan sejajar dengan kewujudan bangsa itu.

Kelemahan Melayu Dalam ‘Pemasaran’ Budaya Dan Bahasa

Satu perkara yang telah menyebabkan kesenian, bahasa dan bangsa Melayu itu semakin tidak diendahkan oleh masyarakatnya sendiri, atau dari dikenali dunia ialah kerana orang Melayu tidak pandai dalam hal ‘pemasaran’. Namun begitu, ia bukan bererti orang Melayu telah gagal, cuma ia hanyalah suatu kelemahan yang sinonim dalam diri orang Melayu.

Sememangnya, sudah dikenali bahawa kaum Melayu bukan merupakan mereka yang mahir dalam bidang pemasaran, bisnes, ataupun ekonomi. Lantas, nyata di sini bahawa kelemahan inilah merupakan punca utama mengapa kesenian, bahasa dan budaya Melayu itu tidak dikenali masyarakat sedunia. Jadi tidak hairanlah jika Melayu di masa hadapan akan dianggap sebagai kaum yang kecil dan terpencil. Budayanya tidak lagi dikenali, bahasanya semakin kurang digunakan, dan bangsanya mungkin tidak mengenal diri.

Seperti yang telah diterangkan sebelum ini, pengaruh-pengaruh luaran seperti pengaruh barat akan dijunjung oleh masyarakat sedunia sebagai budaya perkampungan global yang dikatakan mampu ‘menyatukan’ masyarakat dari setiap pelusuk dunia. Jika hal ini terjadi, bangsa, bahasa, budaya dan identiti sesuatu kaum akan dilupakan. Seluruh dunia akan bertutur menggunakan satu bahasa, mempraktikan satu budaya, mempunyai satu seni, dan akhir sekali mempunyai satu identiti yang diterima seluruh dunia.

Jika dibandingkan antara masyarakat Melayu dengan masyarakat Cina, masyarakat Cina lebih vokal dan berani untuk mengutarakan pendapat mereka, dan yang sebaliknya membentuk peribadi masyarakat Melayu. Mungkin ini adalah hasil atau disebabkan oleh keadaan kehidupan masyarakat Melayu yang berdaulat dahulu kala.

Ketika dibawah naungan kesultanan, masyarakat Melayu atau rakyat biasa merupakan mereka yang tidak berpendidikan. Selain dari itu, mereka juga hidup untuk tidak menyoal suarakan keluhan dan ketidak puasan mereka kepada golongan yang memerintah. Kehidupan mereka lebih sederhana (Nik Nazmi, 2009). Lantas, dari pemahaman ini, dapat dikatakan bahawa masyarakat Melayu telah ‘dibentuk’ atau ‘dilentur’ untuk mengikut arahan dan tidak menyoalkan kekuasaan pemerintahan.

Selain itu, Melayu dikatakan tidak mempunyai rakaman tamadun yang lama. Lantas, tidak hairanlah jika pemahaman mengenai bahasa, budaya dan kesenian Melayu itu tidak mencapai ketahap mana yang dikecapi oleh masyarakat Cina. Menurut sejarah kesusasteraan Melayu, bangsa Melayu hanya mula untuk lebih rasa perihatin terhadap bahasanya setelah kedatangan Abdullah Munsyi (Liaw, 1975).

 

Sarana Fakir Menjunjung Bangsa Melalui Seni Dan Bahasa

Untuk memartabatkan kesenian dan bahasa Melayu ke tahap yang lebih mantap, perlulah masyarakat Melayu atau penggiat-penggiat seni, kesusateraan, dan persuratan Melayu memasarkan Melayu ke muka dunia. Langkah pemasaran yang agresif, seperti yang dilakukan oleh masyarakat Cina, ialah cara terbaik untuk mengekalkan kesenian dan bahasa Melayu.

Seelok-eloknya, mereka yang ‘memasarkan’ Melayu itu perlulah petah berkata, dan bijak dengan kata-katanya. Teknik ‘penjualan’ ini kerap digunakan oleh penggiat-penggiat Cina dalam memastikan yang Cina dikenali oleh warga asing sedunia. Disebalik memaparkan sejarah silam yang terbukti indah dan kaya, setiap unsur kesenian dan persejarahan perlu diketengahkan dengan bijaksana.

Dengan mempelajari cara masyarakat Cina mempromosikan budayanya kepada warga asing, mungkin masyarakat Melayu sendiri mampu melakukan yang sama agar tidak ketinggalan dan tidak dilupakan.

Penggunaan media dengan luasnya amat dialu-alukan. Ini adalah kerana media seperti televisyen, radio, akbar, internet dan sebagainya merupakan perantara yang amat berkesan dalam penyebaran matlumat.

Badan-badan kesenian, kesusasteraan, bahasa dan budaya perlulah bergabung dan bekerjasama (bukan untuk tikam menikam sesama sendiri atau mengejarkan pangkat dan darjat keseorangan) dalam suatu program penyedaran, pemupukan, dan penyemaian budaya dan bahasa Melayu kepada khalayak. Untuk sekali ini, demi masa depan bangsa Melayu, amat dialu-alukan agar perbezaan darjat mahupun penaungan nama diketepikan. Hal ini terletak pada dasar-dasar ‘kemelayuan’ yang dikenali sebagai kaum yang tidak ‘senang’ melihat kejayaan orang lain.

 

Penutup

Melayu akan kehilangan identitinya dalam jangka masa yang mendatang jika tiada sesiapa yang sanggup menampil kehadapan untuk mempertahankan kesenian itu sendiri. Arus globalizes yang semakin deras, merupakan sebab utama bangsa Melayu semakin kurang petah akan budaya dan bahasanya sendiri.

Masyarakat Melayu perlu mencontohi masyarakat Cina. Cara mereka ‘memasarkan’ atau ‘menjual’ seni dan budaya mereka kepada dunia amat dikagumi. Sekaligus, tindakan mereka ini telah membuat bangsa dan bahasa itu kekal relevan di mata dunia.

Sirna Kalam Maya

Januari 2011

Rujukan 

DBP (2005) Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur. Dari lelaman http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=utopia dilayari pada 15 Januari 2011;

Balai Kajian Dan Pengembangan Budaya Melayu, (2007) Dunia Melayu Sedunia: Melayu online.com. Yogyakarta, Indonesia. Dari lelaman http://melayuonline.com/ind/culture/dig/507 dilayari pada 15 Januari 2011

Portal Pendidikan Utusan Malaysia: Asal Usul Bahasa Melayu. Dari lelaman http://www.tutor.com.my/stpm/asal_usul_bahasa/asal_usul_bahasa_melayu.htm dilayari pada 15 Januari 2011

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa, Abdul Hamid Mahmood, (1993) Tatabahasa Dewan: Edisi Baharu. Selangor Darul Ehsan, Malaysia

Mardiana Abu Bakar, Ridzuan Abd Rahim (May, 2005) Centre For Research In Pedagogy And Practice. A PRELIMINARY REPORT ON THE TEACHING OF MALAY AS A SECOND LANGUAGE IN SINGAPORE SCHOOLS: An analysis of initial data from the Singapore Pedagogy Coding Scheme. National Institute of Education, Singapore. Dari lelaman http://repository.nie.edu.sg/jspui/bitstream/10497/256/1/CORE_ResRpt05_MardianaRidzuan.pdf dilayari pada 15 Januari 2011

Sullivan, Michael (1993) The Book Of Art: Chinese And Japanese Art (Awal Perkembangan Seni Rupa Cina), Terjemahan (Vol. 9, Hal. 17-23). Grolier Inc., Italia. Dari lelaman http://file.upi.edu/Direktori/C%20-%20FPBS/JUR.%20PEND.%20SENI%20RUPA/196605251992021%20-%20HARRY%20SULASTIANTO/HANDOUT/AWAL%20PERKEMBANGAN%20SENI%20CINA.pdf dilayari pada 15 Januari 2011

Liaw, Yock Fang (1975) Sejarah Kesusasteraan Melayu. Pustaka Nasional, Singapura.

Nik Nazmi Nik Ahmad (2009) Malaysian Insider, Adakah Melayu Semulajadinya Lemah?. Malaysia.

 

Bacaan:

Kamsiah, Abdullah (2000) Sikap, Penguasaan, Dan Penggunaan Bahasa Melayu Di Singapura. Angkatan Sasterawan 50, Singapura.

 

About Sirna Kalam Maya
Seorang yang keliru dan kritis dalam menerjah alam nan tiada batasan ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: